gambar ahli kumpulan KDP-4 Minggu

gambar ahli kumpulan KDP-4 Minggu

Monday 18 July 2011

BIOGRAFI DIRIKU

KURSUS PEMBUGARAN DALAM P&P BAHASA MELAYU SEKOLAH MENENGAH
DI BAWAH PROGRAM MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU


TARIKH                     : 4 JULAI 2011
MASA SLOT              : 8.00-10.00 PAGI
TUGASAN                 : TEMU BUAL
AKTIVITI                    : BIOGRAFI DIRI
DISEDIAKAN OLEH  : PN. AZIZAH BINTI ABDULLAH
                                        (SMK DATO’ PENGGAWA TIMUR, MASAI, JOHOR)

            Rosiah binti Mohd Leman dilahirkan pada hari Selasa tanggal  8 Jun 1982. Puteri kepada pasangan Mohd Leman bin Sawerjo dan Chana binti Saring dilahirkan di rumah bernombor 5, Jalan Serindit, Felda Kahang Timur, Kluang Johor. Beliau merupakan anak kelima daripada 9 orang adik-beradik.

Rosiah memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan LKTP Kahang Timur dari darjah 1 hingga darjah 6 dan seterusnya ke Sekolah Menengah LKTP Kahang Timur dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Beliau tamat persekolahan dengan keputusan pangkat 1 dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM). Oleh sebab ekonomi keluarga tidak kukuh dan mempunyai adik-beradik yang ramai, beliau tidak memohon untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti malah menerima tawaran untuk meneruskan pengajian ke Tingkatan 6. Walaupun pelbagai tanggapan mengenai subjek di Tingktan 6 susah namun beliau bertekad belajar bersungguh-sungguh supaya berjaya dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran(STPM) dan berpeluang melanjutkan pengajian di Universiti. Tawaran melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6 tidak disia-siakan dan Sekolah Menengah Sultan Abdul Jalil menjadi batu loncatan untuk beliau meneruskan pengajian di Universiti Sains Malaysia bemula tahun 2002 dalam jurusan Sastera dengan Pendidikan.


Pada tahun 2006, beliau telah dianugerahkan kelulusan Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan Kelas Pertama(Pengajian Bahasa Melayu). Rentetan daripada penganugerahan ini, beliau menjadi kebanggaan keluarga kerana satu-satunya anak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti dan mendapat keputusan yang cemerlang. Berbekalkan kelulusan ini, beliau ditempatkan mengajar di Sekolah Menengah Tengku Aris Bendahara, Kluang. sehingga tahun 2009 sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Menteri pada tahun 2010.

Perkenalan dengan seorang jejaka dari Batu Pahat, Johor bernama Abdul Haris bin Mohd Nor yang mengikuti bidang pengajian di Universiti Malaya dalam jurusan Sains dan Teknologi berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin bermula daripada Program Bakti Siswa antara universiti yang dianjurkan oleh Persatuan Anak Negeri Johor (IKMAR). Perasaan cinta antara satu sama lain berputik apabila sering berjumpa dan berada dalam kumpulan yang sama bagi setiap aktiviti yang dijalankan. Maka bermulalah perkenalan antara mereka sehingga saling bertukar nombor telefon.  Pelbagai dugaan terpaksa dihadapi oleh mereka sepanjang 4 tahun perkenalan. Dugaan yang paling besar apabila si jejaka yang dicintai mendapat tawaran bekerja sebagai Pengurus Kilang TradeWind di Sabah.
Manakala beliau ditempatkan di Kluang, Johor sebagai seorang pendidik. Hubungan jarak jauh menyebabkan mereka jarang berjumpa dan kurang berkomunikasi. Keadaan ini membawa kepada terputusnya hubungan cinta antara mereka selama tempoh 1 tahun. Oleh sebab jodoh yang panjang antara mereka, hubungan percintaan bermula semula apabila masing-masing belum mendapat pasangan dalam tempoh tersebut. Hubungan erat yang terjalin semula diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 27 Mei 2007. Sepanjang 4 tahun perkahwinan, mereka belum dikurniakan zuriat namun dugaan ini tidak memadamkan perasaan saling menyayangi antara satu sama lain.
           
            Walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai guru, minatnya mengubah bunga tidak pernah dilupakan. Masa senggang digunakan untuk mengemas rumah atau menanam pokok bunga di halaman rumah. Aktiviti seperti ini biasanya dilakukan bersama dengan suami. Selain mengisi masa lapang, aktiviti ini juga mengeratkan hubungan mesra bersama suami serta menyihatkan badan.

            Seterusnya, minat dalam kerjaya sebagai seorang pendidik sememangnya semakin menebal dari sehari ke sehari. Tanggal 21 Februari 2007 beliau telah diberi penempatan guru di kampung halaman beliau sendiri di Kluang, Johor iaitu Sekolah Menengah Tengku Aris Bendahara, Kluang, Johor. Rasa syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana ditempatkan di situ. Peluang untuk tinggal bersama keluarga dapat digunakan dengan sebaiknya oleh Rosiah.
            Selangkah menjejakkan kaki buat pertama kalinya di sekolah tersebut betul-betul membuatkan hati beliau gugup dan berdebar-debar. Beliau telah diarahkan oleh pihak pengurusan untuk mengajar subjek bahasa Melayu kerana di sekolah itu kekurangan guru subjek Bahasa Melayu. Perasaan gembira terpancar di wajahnya kerana dapat mengajar subjek bahasa Melayu bersesuaian dengan bidang yang di ambil semasa melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia. Di sekolah tersebut, beliau diberi peluang mengajar bahasa Melayu dan Sejarah Tingkatan 3.
            Sokongan yang padu daripada keluarga dan insan-insan terdekat dengan dirinya menjadi suntikan semangat kepada beliau untuk terus bertahan dan mengorak langkah dalam bidang kerjaya yang baru diceburinya kini. Beberapa bulan mengajar di Sekolah Menengah Tengku Aris Bendahara beliau telah diberi pendedahan yang baik oleh pihak sekolah kerana telah dihantar berkursus ke beberapa kawasan di Johor seperti Kursus Tatabahasa dan Kursus Penataran  Bahasa Melayu di, Kursus Penandaan PMR, di Paloh Johor.
Kemudian pada 2009, beliau telah berpindah sekolah ke SMK Datuk Menteri kerana mengikut suami yang telah mempunyai rumah di kawasan tersebut. Di sekolah baru, beliau di amanahkan memegang jawatan sebagai Penasihat Persatuan Bahasa Melayu, Penyelaras Program Penghayatan Bulan Kemerdekaan dan Penyelaras Tingkatan 4. Pada 26 Jun 2011, beliau dipanggil berkursus tentang Pembugaran Bahasa Melayu di IPG Kampus Perempuan Melayu di Melaka selama sebulan. Segala ilmu yang diperolehinya melalui beberapa kursus tersebut telah menyebabkan beliau lebih peka dalam penggunaan tatabahasa dan telah menimbulkan minat beliau dalam usaha untuk mendalami lagi mata pelajaran Bahasa Melayu di masa akan datang.
Kini, beliau masih meneruskan tugas sebagai pendidik di sekolah yang sama dan minatnya untuk mengajar anak bangsa hingga berjaya diteruskan dengan azam memastikan segala ilmu yang dicurahkan dihargai oleh anak-anak didiknya. Beliau akan terus berbakti sebagai seorang pendidik yang dapat melahirkan insan yang cemerlang bukan sahaja dari aspek akademik tetapi juga kerohanian.


           
           
           








No comments:

Post a Comment